JOHOR BAHRU — Polis mengesan dua kumpulan kongsi gelap yang menjalankan kegiatan merekrut pelajar sekolah menengah untuk menganggotai kumpulan mereka di Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kegiatan itu dikesan selepas polis menerima dua laporan pelajar dipukul dan dipaksa menyertai kumpulan kongsi gelap Geng Hong Hong San dan Ngo Sek Kee.
Beliau berkata kes berkenaan hanya dikesan baru-baru ini, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi kes seumpama itu yang tidak dilaporkan kepada polis.
“Kumpulan kongsi gelap ini dipercayai menyasarkan pelajar di kawasan bandar, berbanding luar bandar. Polis harap mangsa, guru dan ibu bapa peka dan lapor kepada polis jika kegiatan ini dikesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata pihaknya sedang giat memantau kumpulan kongsi gelap di negeri itu, sekali gus menggesa pihak sekolah berhubung dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi menangani kes seumpama itu.
“Kita lihat sekarang kumpulan gangster kongsi gelap sudah berani ‘besar kepala’ masuk ke sekolah rekrut pelajar masuk kumpulan mereka. Jadi nasihat saya kepada guru-guru khususnya, supaya lapor kepada polis, sebab di sekolah ada PPS, jadi sila salurkan maklumat,” katanya.
Beliau berkata pada 17 Okt lepas enam lelaki didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 di Mahkamah Majistret Muar bagi kesalahan berkaitan kegiatan kongsi gelap Geng Hong Hong San dan Ngo Sek Kee yang merekrut pelajar.
Beliau berkata dua daripada lelaki itu mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000.