Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Polis kesan pemandu tular guna lorong motosikal

KUALA LUMPUR — Polis sedang mengesan pemilik sebuah kenderaan yang dipandu di lorong motosikal di Kilometer 34.1, Lebuhraya Persekutuan seperti ditularkan melalui satu rakaman video.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid,berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu tular di media sosial, kira-kira jam 5 petang Rabu.

“Perkara itu diambil maklum Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan satu laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Semakan mendapati kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebuah kereta Honda City dengan nombor pendaftaran VAG 8183,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, perkara seperti ini boleh membahayakan keselamatan pemandu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, kita minta pemilik atau pemandu kenderaan terbabit serta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihak terbabit diminta tampil terus ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim ditalian 013-3752511.

Tags: , ,