Social
151

Polis kesan peserta konvoi bantah kenaikan harga barang

Kuala Lumpur – Polis sedang mengesan peserta yang terlibat dalam konvoi kenderaan membantah kenaikan harga barang yang berlangsung di sekitar ibu kota hari ini untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Dellhan Yahaya berkata ia berikutan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung konvoi berkenaan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021 iaitu larangan berarak.

“Pada hari ini, sebanyak lima kenderaan dikesan memasuki daerah Dang Wangi sambil melekatkan kertas di kenderaan masing-masing yang bertulis ‘rakyat tuntut tiga’, ‘Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kurangkan kaji lebihkan kerja’, ‘menteri hentikan komen tidak sensitif!’, ‘#3 kartel / rasuah dihapuskan’, ‘#3 kuatkuasa undang-undang’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata konvoi berkenaan dikesan melalui Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menghala ke Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang sedang berkuat kuasa dan tindakan di bawah peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu