Kuala Lumpur Post

Social

Polis lengkap kertas siasatan 7 remaja terlibat kes pukul

JOHOR BAHRU — Kertas siasatan berhubung kes tujuh remaja termasuk seorang warga asing berumur 14 hingga 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pukul pelajar sekolah di Taman Bistari Indah di sini, telah dilengkapkan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut hari ini.

“Siasatan telah selesai dan mereka telah dibebaskan dengan jaminan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Raub berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja berusia 15 tahun dipercayai mangsa pukul kira-kira 4.09 petang, Isnin lepas.

Raub dipetik berkata berdasarkan siasatan, dipercayai punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati oleh suspek utama yang berumur 15 tahun, setelah mangsa berkawan dengan kekasihnya.

Susulan itu, tujuh remaja diperintah reman selama dua hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Isnin lepas, tular video berdurasi 59 saat menerusi Facebook menunjukkan seorang remaja lelaki dipukul oleh seorang remaja dan terdapat juga beberapa remaja lelaki lain di sekitarnya, lapor Bernama.

Tags: , ,