Social
266

Polis lepaskan tembakan ke arah kereta cuba langgar anggota

Kota Bharu – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta yang cuba melanggar anggotanya selepas diarah berhenti kerana dipandu secara berbahaya dalam kejadian berhampiran Pasar Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Tumpat menghala Wakaf Bharu itu, dikesan pada 5.50 petang.

“Setibanya di tepi jalan berhampiran Pasar Wakaf Bharu, pihak polis cuba memberhentikan kenderaan tersebut tetapi suspek enggan memberikan kerjasama sebaliknya bertindak mengundurkan kenderaan dan cuba melanggar anggota polis.

“Ekoran itu polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta dan menahan lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan 943 biji pil Yaba bernilai RM9,430 dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methampethamine.

Beliau berkata lelaki berasal dari Tumpat dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah kekerasan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 307 serta 279 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan memandu secara melulu, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu