Nation
2K

Polis mohon maaf isu ratusan warga asing solat sunat Aidiladha luar surau

Seberang Perai РPolis Pulau Pinang memohon maaf atas kegagalan pasukan itu mengesan perbuatan ratusan individu dipercayai warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru di sini pagi tadi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal mendapati perbuatan itu berlaku secara spontan, selepas kesemua mereka tidak dibenarkan bersolat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.

Beliau berkata, sebelum kejadian pagi polis sudah melakukan rondaan awal di kawasan berkenaan, namun pengurusan surau didapati mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Ada kemungkinan mereka (warga asing) berhimpun selepas rondaan selesai dan ketika polis menjalankan pemeriksaan terhadap surau dan masjid lain. Polis mohon maaf atas kegagalan mengesan perkara ini dengan lebih awal,

“Kami difahamkan, surau berkenaan dibanjiri jemaah untuk datang menunaikan solat, namun hanya 100 orang sahaja yang dibenarkan masuk bagi mematuhi SOP ditetapkan. Pengurusan surau kemudian mengarahkan kesemua yang tidak dapat masuk supaya bersurai dan mengambil tindakan menutup pintu pagar.

“Bagaimanapun, berlaku tindakan spontan apabila mereka yang tidak dapat masuk menunaikan solat di jalan raya di luar perkarangan surau berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, petang ini, lapor BH Online.

Mohd Shuhaily berkata, pengurusan surau juga tidak menghubungi polis kerana mahu menjaga sensitiviti agama, namun tidak menyangka warga asing berkenaan tetap menunaikan solat walaupun sudah diarahkan bersurai dengan cara baik.

Beliau berkata, ada 180 masjid dan 57 surau di Pulau Pinang, tetapi hanya satu sahaja laporan pelanggaran SOP yang diterima setakat ini.

“Kita juga menyeru pengerusi masjid dan surau di negeri ini untuk menghubungi polis sekiranya mendapati ada pelanggaran SOP, tambahan pula dalam masa tiga hari ini (Hari Tasyrik) akan ada acara dan aktiviti yang kita berharap semua dapat faham kerana apa yang dilakukan adalah bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Di kesempatan itu, kita memohon jika ternampak sesuatu perkara yang melanggar SOP boleh menghubungi polis menerusi talian 04-32221722,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu