Social
106

Polis musnahkan bom tinggalan Perang Dunia Kedua

Jempol – Polis memusnahkan sebutir bom lama jenis mortar dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemukan di kawasan kebun getah Lubuk Lawang, Rompin dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Hoo Chang Hook berkata bom itu ditemukan seorang lelaki Orang Asli berusia 40 tahun ketika membersihkan kebun getah tersebut pada kira-kira 7.15 pagi.

“Lelaki dikenali sebagai Nizam itu telah memaklumkan kepada Ketua Kampung John Baharyn Ayom, 53, mengenai penemuan sebuah objek menyerupai bom di kawasan berkenaan.

“John Baharyn kemudian membuat laporan polis, seterusnya sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata siasatan mendapati objek itu adalah bom lama jenis mortar tanpa sebarang penandaan berukuran 60 milimeter dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua.

Katanya bom itu dimusnahkan di kawasan kebun getah tersebut pada kira-kira 1.30 tengah hari. ― Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu