Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Polis N. Sembilan sedia bantu kesan Long Tiger

Seremban – Polis Negeri Sembilan sedia membantu Kontinjen Johor dalam mengesan lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos daripada tahanan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor Rabu lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata meskipun tiada pasukan khas ditubuhkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga selain semua anggota di lapangan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Sebarang kemungkinan boleh berlaku (Long Tiger memasuki sempadan Negeri Sembilan) dan kita sedia membantu polis Johor mengesan suspek. Semua elemen dan petugas telah dimaklumkan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada 15 Dis lepas, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata polis Negeri Sembilan merekodkan kutipan bayaran saman berjumlah RM5.46 juta membabitkan 111,116 kes dalam tempoh lapan hari sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis lepas.

Beliau berkata jumlah transaksi yang dibuat di kaunter cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri melalui bayaran tunai dan e-pembayaran dengan kad kredit atau debit merekodkan sebanyak 2.3 peratus iaitu RM122,600 daripada keseluruhan kutipan bayaran saman setakat semalam.

“Kebanyakan saman yang dijelaskan orang ramai adalah dari tempoh 1998 hingga kini. Bagaimanapun, jumlah kutipan menerusi aplikasi MyBayar Saman tidak dapat dikeluarkan kerana melibatkan perisian di Bukit Aman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan orang ramai supaya merebut peluang berkenaan selain tidak menunggu sehingga tarikh akhir 31 Dis untuk membuat pembayaran saman trafik terutama di kaunter trafik di IPD bagi mengelakkan kesulitan.

Jelasnya, ini kerana kutipan kompaun tunai perlu dibankkan mengikut tatacara pengurusan terimaan bagi penutupan akaun akhir 2021 oleh Jabatan Akauntan Negara dan orang ramai perlu membuat pembayaran tunai pada 30 Dis.

Namun, pembayaran melalui aplikasi mudah alih termasuk MyBayar Saman, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank dan Pejabat Pos Malaysia boleh dibuat hingga 31 Dis ini, katanya.

Pada 12 Dis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir 12 Dis, dilanjutkan hingga 31 Dis bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman, lapor Bernama.

Tags: ,