Social
216

Polis nafi dakwaan kompaun individu beri bantuan

Ipoh – Polis Kuala Kangsar tidak pernah mengeluarkan kompaun kepada orang ramai atas alasan menghantar bantuan, sebagaimana dinyatakan oleh video rakaman panggilan pendengar ke stesen radio tempatan yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata hasil semakan mendapati pihaknya hanya mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan-kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta undang-undang.

“Kami percaya video tular itu berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati individu berkenaan kerana dikompaun atas kesalahan melanggar SOP yang ditetapkan setelah selesai menghantar bantuan, dan pihak polis telah mengambil tindakan bagi menyiasat perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk memberikan bantuan dan menjaga keamanan serta kesejahteraan negara, namun pada masa sama orang ramai perlu mematuhi SOP dan arahan keselamatan bagi mengelakkan penyebaran jangkitan COVID-19.

Katanya orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih menerusi media sosial kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Kuala Kangsar juga amat mengalu-alukan sebarang penyaluran maklumat berkaitan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan melalui Facebook Polis Kuala Kangsar atau melalui panggilan telefon di talian 05-776 2222,” katanya.

Klip video yang menampilkan rakaman panggilan telefon di sebuah stesen radio tempatan berdurasi kira-kira dua minit yang tular di media sosial mendakwa polis Kuala Kangsar mengeluarkan kompaun kepada individu yang menghantar bantuan.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu