Social
287

Polis nafi dakwaan video jadikan warga China mangsa rasuah, pemerasan

Kuala Lumpur – Polis menafikan dakwaan sebuah video tular di media sosial Youtube yang menuduh polis sentiasa menjadikan warga China sebagai mangsa untuk meminta rasuah dan melakukan pemerasan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata video tersebut dipercayai dimuat naik pada 3 Feb lepas yang berdurasi 41 minit 51 saat.

Beliau berkata video itu memaparkan seorang lelaki warga China mendakwa dirinya diperas ugut polis di Malaysia lebih kurang 50 kali selain menuduh polis sentiasa mencari kesalahan dalam kalangan warganegara asing terutamanya China untuk mendapatkan habuan dan sanggup membawa mangsa ke mesin ATM bagi mendapatkan wang.

“Semakan dibuat dan mendapati setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh penama (lelaki itu) atau orang lain mengenai insiden sebagaimana dinyatakan (dan) polis memandang serius terhadap segala tuduhan dan dakwaan itu.

“Pihak polis mengalu-alukan penama itu untuk tampil membuat laporan berkenaan kejadian ini supaya siasatan lanjut boleh dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Abd Khalid berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati melakukan kesalahan.

“Maklumat berkaitan kejadian sebegini atau lain-lain jenayah boleh disalurkan kepada pihak polis melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya (di talian) nombor telefon 03-56210343 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu