Kuala Lumpur Post

Social

Polis nafi tidak telus siasat kes budak lemas di taska

IPOH — Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak menjalankan siasatan secara telus, terhadap kes seorang kanak-kanak yang dipercayai mati akibat kecuaian pihak taska, di Bandar Baru Sri Klebang di sini seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat di Facebook milik Sathruhan Manian hari ini, berhubung dakwaan itu yang menarik perhatian masyarakat umum.

“Pihak polis memandang serius terhadap dakwaan tidak berasas dan penyebaran maklumat palsu melalui media sosial, oleh pemilik akaun Facebook tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yahaya berkata satu laporan mati mengejut telah dibuka, bagi menyiasat kematian kanak-kanak berusia empat tahun itu selepas menerima laporan mengenai kejadian lemas pada 18 April lepas.

Beliau berkata pihaknya telah menyiasat kes itu secara teliti, dan berjaya memperolehi arahan pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kejadian berkenaan di Mahkamah Majistret di sini esok, di bawah Seksyen 33(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kita telah menahan seorang wanita berumur 58 tahun, yang merupakan guru besar taska berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini dan akan didakwa esok,” katanya.

Terdahulu tular video di media sosial tindakan pasangan ibu bapa kanak-kanak itu berjalan kaki tanpa kasut dengan memegang sepanduk, mengundang perhatian netizen apabila memaklumkan berbuat demikian demi menuntut keadilan kematian anak mereka pada April lepas.

Mereka berjalan kaki dari Bandar Baru Sri Klebang ke IPD Ipoh, dengan membawa sepanduk Justice For Thanes.

D. Nilaveni, 40, yang merupakan ibu kepada mangsa mendakwa pusat jagaan kanak-kanak itu cuai ketika menjaga V. Thanes Nair, pada hari pertama mangsa dihantar ke situ.

Kanak-kanak itu dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang yang terletak berhampiran premis berkenaan, sebelum meninggal dunia enam hari kemudian, lapor Bernama.

Tags: , ,