Nation
411

Polis panggil Ahli Parlimen Kepong

Kuala Lumpur – Polis akan memanggil Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dua lelaki diperas tiga anggota polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata perkara itu disiasat selepas pihaknya membaca laporan berita berkaitan sidang media oleh Ahli Parlimen terbabit berhubung kejadian pemerasan itu, jam 4.50 petang semalam.

Katanya, Lip Eng mengadakan sidang media bersama beberapa individu di hadapan sebuah restoran di Kepong kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Dalam sidang media itu, Lip Eng mendakwa tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua lelaki tempatan berhampiran lampu isyarat Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong, kira-kira jam 6.45 pagi, Rabu lalu.

“Susulan dakwaan itu, pihak polis membuat semakan laporan kejadian dari tarikh kejadian sehingga kini dan mendapati tiada laporan dibuat oleh mana-mana individu berhubung insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Eng Lai berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota terbabit jika benar salah laku itu berlaku.

“Sehubungan itu, kita akan memanggil Lip Eng dan dua individu berkenaan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut meminta saksi yang mempunyai rakaman video kejadian supaya tampil membantu siasatan polis.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden didakwa boleh menghubungi Pegawai Penyiasat. Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206. — BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu