Nation
155

Polis panggil beberapa saksi bantu siasatan tawaran vaksin

George Town – Polis Pulau Pinang akan merekodkan keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung individu kononnya menawarkan sumbangan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac untuk negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis daripada beberapa individu mewakili parti politik termasuk daripada pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Pada 19 Mei lepas, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang telah menerima laporan polis berhubung kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menyatakan tentang sumbangan vaksin kepada Ketua Menteri Pulau Pinang adalah satu penipuan.

“Ekoran daripada laporan polis tersebut satu siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan masih di peringkat awal dan beberapa tindakan perlu diambil antaranya merakam percakapan saksi-saksi daripada pihak syarikat yang berkaitan, pejabat Program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan dan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, siasatan awal mendapati penulis surat yang menawarkan 2 juta dos vaksin jenis Sinovac hanyalah wakil kepada syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang dilantik secara lisan dan bukannya pengarah urusan syarikat itu sepertimana yang dinyatakan dalam surat berkenaan.

Sahabudin berkata pihaknya akan menghubungi syarikat yang terlibat untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan dan peranan penulis surat tersebut.

“Modus operandi kes ini adalah individu yang merupakan wakil syarikat Xintai Development Enterprise Ltd dipercayai cuba untuk menipu kerajaan negeri Pulau Pinang dengan menawarkan 2 juta dos vaksin jenis Sinovac yang dipercayai tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, penulis surat itu juga mengesahkan bahawa tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang adalah miliknya.

“Polis sedang menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum menghantarnya ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan setelah semua tindakan siasatan selesai diambil,” katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu