Nation
103

Polis pantau pematuhan SOP Aidilfitri dari rumah ke rumah

Kangar – Polis akan melakukan pemantauan secara rawak di taman-taman perumahan dan kawasan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata sebanyak sepuluh pegawai dan 58 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan rondaan di sekitar Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

“Ketika melakukan rondaan, kita akan melihat sekiranya terdapat kenderaan luar dan membuat pemeriksaan sama ada kenderaan itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Wari, rondaan berkenaan adalah lapisan kedua kepada Sekatan Jalan Raya (SJR) kekal bagi memastikan tiada individu terlepas masuk ke negeri ini tanpa kebenaran daripada pihak polis.

“Polis tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun sekiranya terdapat individu yang melanggar SOP atau tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri,” katanya.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak menganjurkan sebarang majlis Aidilfitri seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan berharap mereka dapat mematuhi SOP Aidilfitri yang ditetapkan bagi menjayakan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu