Nation
202

Polis pantau taktik salah guna surat rentas negeri

Kuala Lumpur – Polis sentiasa memantau tindakan individu menyalahgunakan surat kebenaran majikan untuk merentas negeri, bagi tujuan bercuti dan berbulan madu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata setakat ini, isu itu masih terkawal.

“Kita sentiasa pantau isu salah guna surat majikan untuk rentas negeri yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Sebenarnya, taktik ini sudah dikesan polis sejak tahun lalu, malah sebelum ini, kita ada siasat dan ambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan surat kebenaran untuk rentas negeri.

“Surat itu menyatakan rentas negeri untuk urusan kerja, namun ia digunakan bagi tujuan lain,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, polis Brickfields dilaporkan mengesahkan memberi kebenaran kepada selebriti, Neelofa dan tiga yang lain untuk bergerak ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan untuk berbulan madu.

Berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini, Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain melakukan pergerakan rentas negeri atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, dipetik berkata mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi berkenaan bermula 27 Mac hingga 4 April ini.

Sejak semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, berada di Langkawi tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu.

Selain itu, sebelum ini, polis Wangsa Maju juga dilaporkan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan sepasang suami isteri yang juga selebriti dikatakan merentas negeri untuk berbulan madu di Sabah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, dipetik berkata pihaknya menerima permohonan rentas negeri ke Sabah atas urusan perniagaan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun di Balai Polis Setapak pada jam 5 petang, 20 Mac lalu. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu