SERI ISKANDAR — Polis akan merakam keterangan ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemui lemas di tasik berhampiran Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Kanak-Kanak 2001 iaitu mengabaikan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah.
“Ya, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit akan diambil keterangan.
“Bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Changkat Melintang, Bota mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Bahagian Keselamatan UTP yang memaklumkan sepasang ibu bapa mengatakan anak lelaki berusia dua tahun mereka hilang ketika berada di masjid universiti berkenaan pada jam 1.15 tengah hari Sabtu.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid mendapati ternampak kelibat mangsa berjalan ke arah tasik.
“Pasukan bomba yang dibantu unit skuba bomba Ipoh menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 4.25 petang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294 bagi membantu siasatan,” katanya.