Social
149

Polis, rakan subahat, didakwa edar dadah

Johor Bahru – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi.

Anggota polis C. Harethaess, 27, dan rakan subahatnya P. Darshan, 19, didakwa bersama atas kesalahan mengedar dadah seberat 181.95 gram, di tempat letak kereta berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey di sini, pada 9.45 malam, 23 Sept lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 5 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq manakala peguam Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashraf Azuddin mewakili Darshan.

Harethaess yang bertugas di balai polis di Negeri Sembilan, tidak diwakili peguam, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu