Nation
136

Polis sahkan operasi kasino Genting Highlands tutup sepenuhnya

Kuantan – Pusat kasino di Genting Highlands disahkan telah ditutup sepenuhnya, menurut Ketua Polis Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar.

Beliau berkata polis telah melakukan pemeriksaan di pusat berkenaan pada kira-kira pukul 11 malam tadi bagi memastikan pengendali pusat kasino berkenaan menutup operasinya selaras dengan arahan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Mereka akur dengan arahan penutupan yang diberikan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan penutupan telah dikeluarkan kepada pengurusan Genting pada Jumaat lepas, selepas dimaklumkan operasinya masih berjalan.

Pada 7 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat kluster baharu di Kedah yang berpunca daripada aktiviti pelancongan dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands pada April lepas, menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan berdaftar.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan meminta orang ramai membantu polis dengan membuat aduan jika terdapat ketidakpatuhan berhubung sekatan tambahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini.

Ini termasuk pematuhan jumlah kehadiran dan waktu operasi di pejabat oleh syarikat dan industri yang dibenarkan beroperasi dari tempat kerja sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Kita akan merahsiakan identiti pengadu dan aduan tanpa nama juga akan disiasat. Mereka hanya perlu menghubungi bilik gerakan sama ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) daerah,” katanya. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu