Social
280
0

Polis Selangor terima 180 laporan ugut libatkan gambar, video lucah

Kuala Lumpur – Sebanyak 180 kes pemerasan melibatkan penyebaran video dan gambar lucah dicatatkan di Selangor sejak Januari sehingga hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat.

Beliau berkata kebanyakan laporan diterima melibatkan individu tidak dikenali menghantar gambar atau video lucah bukan milik mangsa selain melibatkan kenalan ataupun sindiket yang mencari mangsa menerusi media sosial.

“Sebanyak 110 kes dicatatkan melibatkan individu tidak dikenali menghantar video atau gambar bukan milik mangsa untuk ganggu mangsa, 42 kes melibatkan kenalan seperti bekas suami dan bekas teman lelaki dan selebihnya melibatkan sindiket yang mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa memberikan video aksi lucah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa akan diperdaya di media sosial tidak mengira lelaki atau wanita, umur serta bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan sehingga mangsa sanggup berkongsi gambar atau video berbogel dan lucah.

“Sindiket akan merekod video serta gambar-gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkan video serta gambar-gambar tersebut.

“Antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket ini adalah Wechat, Facebook, Michat, WhatsApp, laman web (GODATE2NIGHT), Locanto.asia, Line dan lain-lain lagi,” katanya.

Jelasnya, sindiket itu membuat ugutan terhadap mangsa dengan meminta wang yang ditetapkan antara RM10,000 hingga RM20,000 dan sekiranya mangsa tidak berbuat demikian, gambar-gambar bogel mangsa akan disebarkan di media sosial serta kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Justeru, Fadzil menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu daya seumpama itu selain mengingatkan mereka supaya bijak menggunakan media sosial.

“Aksi yang mereka lakukan secara langsung di media sosial amat mudah dirakam dan disimpan oleh pihak kedua.

“Janganlah mempercayai sesiapa sahaja yang baru dikenali di media sosial kerana ramai yang telah menjadi mangsa kepada kumpulan scammer ini,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu