Social
268

Polis siasat anggota enggan terima laporan kes cabul

Georgetown – Polis Daerah Timur Laut sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang anggotanya enggan menerima laporan polis berhubung kes cabul, seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya juga memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung dakwaan tersebut.

“Pihak polis dan saya sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman dan beri jaminan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil akan dijalankan berhubung dakwaan yang tular di media sosial iaitu Facebook itu.

“Jika terkesan terdapat salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada semua pegawai atau anggota yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya tindakan enggan menerima laporan daripada orang awam oleh pegawai atau anggota polis merupakan satu kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dikompromi.

Mengulas lanjut berhubung kes itu, Soffian berkata selepas dakwaan itu tular, polis telah memanggil pengadu kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan dan bagi mengesahkan dakwaan sepertimana yang ditularkan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan,” katanya.

Pada 21 Okt lepas, tular satu hantaran di Facebook oleh Urban Life Volunteers yang mendakwa kononnya anggota polis dari IPD Timur Laut enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul, dipercayai berlaku di dalam sebuah tandas wanita di Komtar.

Ramai pihak termasuk beberapa orang persendirian dan badan bukan kerajaan tampil memberi pendapat masing-masing yang kebanyakannya menyalahkan polis kerana didakwa tidak mahu menerima laporan mangsa, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu