Social
289

Polis siasat dakwaan mural tidak senonoh

Shah Alam – Polis menyiasat dakwaan berkaitan lukisan mural tidak senonoh di dinding Balai Seni Art Gallery Kuala Selangor, dekat sini yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam pada 10 malam semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati projek seni lukis yang mendapat kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 22 Mac lepas, telah dimulakan oleh Persatuan Kesenian Sasaran Kuala Selangor pada 12 April.

“Bagaimanapun pihak MDKS tidak secara jelas diberitahu apakah bentuk atau jenis mural yang akan dilukis pada dinding tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata siasatan dari pelukis berkenaan menyatakan bahawa lukisan tersebut perlu dilukis mengikut lapisan demi lapisan sehingga selesai dan tiada unsur-unsur mural yang dilukis itu mencetuskan perbalahan kaum atau menghina pihak tertentu.

Sementara itu, MDKS dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook, memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan di media sosial mengenai lukisan yang tular itu.

Menurut MDKS, pihaknya menerima maklumat awal pada 7 malam bahawa lukisan terbabit masih 20 peratus dalam proses lakaran dan lukisan terbabit telah tular di media sosial.

Sehubungan itu, MDKS mengarahkan pelukis menyiapkan lukisan bahagian yang sensitif tersebut dengan kadar segera dalam tempoh tiga jam.

“Lukisan tersebut disiapkan pada 10 malam iaitu 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada atau sebelum 26 April ini,” menurut MDKS.

MDKS turut memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana penggiat seni agar sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti budaya tempatan dalam penghasilan karya seni dan merujuk kepada MDKS terlebih dahulu. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu