IPOH — Polis menjalankan siasatan insiden kemalangan pesawat jenis model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Klang, Selangor semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
“Ia dalam siasatan kita dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini hari ini.
Dalam nahas itu, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, disahkan maut dalam nahas terbabit.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi sebelum dilaporkan terhempas pada 1.45 tengah hari.
Berhubung dakwaan bahawa pesawat itu dikatakan tidak mempunyai kotak hitam atau sebarang peralatan rakaman penerbangan, Razarudin berkata perkara berkaitan teknikal diuruskan oleh CAAM.
Terdahulu, seorang pegawai agensi Kementerian Pengangkutan mendakwa pesawat berkenaan tidak mempunyai kotak hitam, kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan keadaan itu menyukarkan siasatan mengkaji punca nahas berkenaan.
Sementara itu, Razarudin berkata polis menyiasat semua aduan susulan tindakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, yang dikhuatiri mengganggu ketenteraman awam.
“Sekiranya ada aduan daripada mana-mana pengadu yang terkesan atas hantaran dibuat (provokasi dalam media sosial), kita akan siasat termasuk hantaran yang membangkitkan sentimen agama dan melibatkan kes di mahkamah,” katanya.
Mengenai Ujian Mara Lasak, Razarudin berkata ia disertai 21 pasukan melibatkan 798 pegawai dan anggota daripada pelbagai elemen KDNKA termasuk dua pasukan jemputan daripada Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Kontinjen Perak.