Nation
676

Polis siasat kutipan derma ikat jamin penghantar makanan pukul pelanggan

Kuala Lumpur – Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook ‘Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam’ yang disyaki melancarkan tabung kutipan derma kononnya untuk membayar jaminan lima penghantar makanan yang ditahan, selepas dipercayai bergaduh dengan pelanggan di Sungai Way, Petaling Jaya, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata antara lain, penganjur kutipan wang menggunakan nama ‘Tabung Kilat Ikat Jamin Rider Foodpanda’ itu mendakwa lima penghantar makanan yang ditahan tersebut perlu membayar wang ikat jamin kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 seorang.

Menurutnya, sumbangan itu didakwa akan disalurkan ke sebuah akaun bank tempatan yang dipercayai milik pertubuhan terbabit.

“Polis tidak pernah mengenakan atau meminta apa-apa bayaran bagi ikat jamin terhadap orang kena tangkap (OKT) dan mengesyaki terdapat individu atau persatuan yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan derma bagi kepentingan peribadi.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta pemilik akaun tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, lima penghantar makanan berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan kerana memukul seorang pelanggan berusia 29 tahun yang didakwa telah menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

Mohamad Fakhruddin berkata lima penghantar makanan dan pelanggan tersebut ditahan reman dua hari hingga hari ini dan pihaknya akan meneliti hasil siasatan untuk tindakan selanjutnya. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu