Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Polis siasat majlis perkahwinan pasangan selebriti langgar SOP

Kuantan – Polis membuka kertas siasatan melibatkan majlis perkahwinan pasangan selebriti susulan penularan sebuah video yang memaparkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis itu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata semalam pihaknya telah menerima laporan berkaitan satu video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook, mengandungi rakaman majlis berkenaan yang diadakan di sebuah vila di Genting Highlands, dekat sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ada tetamu di majlis yang berlangsung pada 15 Dis lepas sekitar 8.30 malam itu tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial, sekali gus melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat.

“Polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu bagi membantu siasatan mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham seterusnya meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), lapor Bernama.

Tags: , , ,