Kuala Lumpur Post

Social

Polis siasat video ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’, cubaan berarak ke Parlimen

KUALA LUMPUR — Polis membuka satu kertas siasatan berhubung video berkaitan penganjuran ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’ yang akan diadakan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata ini susulan pihaknya menerima laporan mengenai satu paparan klip video menerusi laman sosial oleh seorang individu yang menyeru orang ramai menyertai himpunan tersebut.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini lima laporan diterima pihaknya berhubung paparan klip video terbabit dengan dua individu telah direkodkan keterangan manakala empat lagi akan dipanggil bagi dirakam keterangan dalam masa terdekat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang. Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, satu video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan terbabit sempena Hari Malaysia dan mengenakan baju berwarna putih sebagai tanda sokongan.

Dalam kes berasingan, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan susulan tindakan 20 individu yang cuba berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kumpulan tersebut ingkar arahan polis apabila diarahkan untuk tidak berarak ke Parlimen kerana penyerahan memorandum itu telah diselaraskan oleh pihak Parlimen untuk diadakan di Tugu Negara di sini.

“Individu yang terlibat telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Tags: , ,