KLANG — Polis mengesyaki berkemungkinan hanya seorang individu terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, minggu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan yang ditemukan pada tubuh mangsa berusia enam tahun itu.
“Kita (polis) mengesan seorang individu dan percaya (kes ini melibatkan) seorang individu. Kita telah tengok semua sudut, pangkalan data polis serta melakukan tapisan secara besar-besaran dan berharap akan mendapat petunjuk positif sehingga boleh menangkap penjenayah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Hussein, beliau tidak mahu proses siasatan melibatkan sebarang spekulasi dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis supaya dapat menumpukan pelaksanaan tugas berdasarkan fakta kes.
Zayn Rayyan, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas dan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di apartmen berkenaan.
Hussein berkata pihaknya sedang meneliti rakaman video kamera papan pemuka yang diperoleh daripada beberapa pemilik kenderaan yang merupakan penghuni Apartmen Idaman untuk membantu siasatan.
Ditanya jangkaan waktu mayat Zayn Rayyan diletakkan di lokasi dia ditemukan, Hussein berkata: “Pagi hari yang sama (mayat ditemukan) kita ada membuat pencarian tetapi tak jumpa. Kita jumpa pada waktu malam, jadi kemungkinan petang (pembunuh meletakkan mangsa) sewaktu hujan lebat. Jadi kita percaya, waktu petang itulah (mayat diletakkan),”
Mengenai tujuan pemeriksaan sebuah stor yang terletak kira-kira 50 meter dari Blok R, Apartment Idaman semalam, beliau berkata polis mahu menyiasat individu yang selalu berlegar di kawasan itu untuk mencari kemungkinan penjenayah pernah berada di situ.
“Jadi kita mencari dan padanan cap jari di situ, namun siasatan ini masih terbuka dan kita melihat dari semua sudut sama ada dari dalam atau luar kawasan dan tidak mahu terlepas apa-apa kemungkinan,’ katanya.