Social
359
0

Polis tahan selebriti rancangan realiti TV didakwa merogol

Shah Alam – Polis menahan seorang selebriti lelaki sebuah rancangan realiti televisyen ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan merogol seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan itu dibuat susulan satu laporan dibuat oleh mangsa berumur 23 tahun itu, pada Rabu lepas mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, wanita tersebut mengenali suspek berumur 25 tahun itu menerusi laman sosial Instagram dan mereka telah berjumpa pada 11 Sept 2019 sekitar pukul 8 malam, untuk berbincang mengenai kaedah perubatan Islam bagi merawat masalah kemurungan dihadapi mangsa.

“Suspek telah membawa mangsa makan di satu kedai di sekitar Batu 3 Shah Alam, sebelum membawa wanita itu ke rumahnya di satu unit kondominium di Seksyen 7 di sini, dengan alasan untuk memberi penerangan bagaimana boleh keluar daripada masalah kemurungan.

“Semasa di kediaman tersebut, mangsa telah dirogol suspek. Keesokan harinya (12 Sept 2019) sekitar pukul 6.40 pagi, selebriti berkenaan memberi amaran kepada wanita itu supaya merahsiakan mengenai kejadian terbabit dan menghantarnya ke lobi kondominium untuk mangsa pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya, menaiki kenderaan e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata susulan kejadian itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Kajang pada 23 Sept 2019 kerana mengalami tekanan perasaan yang teruk, serta dirujuk untuk rawatan psikiatri.

Kata beliau, mangsa kemudiannya pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang pada Oktober 2019 dan menyambung rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Mangsa ditahan di wad psikiatri selama lima hari. Pihak hospital itu juga mengatakan wanita berkenaan mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat insiden tersebut. Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital berkenaan,” katanya.

Baharudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu