Social
249
0

Polis tahan wanita menyamar sebagai Inspektor

Bachok – Polis Kelantan menahan seorang wanita berumur 20 tahun kerana menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan itu berpangkat Inspektor di Kampung Bukit Bator di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata wanita itu yang berasal dari Sabah memiliki pakaian seragam polis yang digantung di dalam keretanya untuk meyakinkan orang ramai.

“Ketika ditahan, wanita itu menumpang di sebuah rumah lelaki yang dikenalinya dalam media sosial Facebook di kampung berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah.

Shafien berkata keluarga lelaki itu membuat laporan polis selepas mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terutama berhubung pekerjaan wanita tersebut.

Beliau berkata wanita itu adalah seorang penganggur dan polis memandang serius kes tersebut kerana boleh menjatuhkan imej pasukan keselamatan.

Katanya ini merupakan kali kedua wanita itu melakukan kesalahan yang sama selepas pernah berbuat demikian pada 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Shafien berkata wanita itu ditahan reman selama lima hari bermula Selasa lepas sehingga Sabtu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Beliau juga berkata polis menahan seorang pengetua di Machang kerana disyaki merogol seorang pelajar berumur 15 tahun.

Katanya kejadian itu berlaku sejak tahun 2017 di kawasan sekolah ketika cuti dan ketiadaan pelajar lain serta guru.

Shafien berkata polis menerima aduan daripada keluarga mangsa dan menahan suspek awal pagi tadi di rumahnya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu