Social
1K
0

Polis tembak mati ibu, anak serah diri

Manila –  Pegawai polis Filipina ditahan dan didakwa atas dua pertuduhan membunuh seorang ibu dan anaknya kerana perselisihan faham selepas jirannya itu membuat bising.

BBC melaporkan, Jonel Nuezca menyerah diri pada Ahad selepas menembak jirannya, Sonya Gregario, 52, dan anak lelaki wanita itu, Frank yang berusia 25 tahun.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan Nuezca menembak ke arah Gregario ketika wanita itu terbaring di tanah.

Pembunuhan itu mencetuskan kemarahan ramai dan menuntut pembaharuan polis.

Nuezca yang ditemani anak perempuannya yang masih kecil, belum mengeluarkan kenyataan secara terbuka mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, ketua polis tempatan, Noriel Rombaoa mengesahkan pembunuhan itu menerusi siaran laporan berita tempatan, DZMM.

Dalam kejadian yang berlaku di bandar Tarlac itu, Nuezca yang ketika itu tidak bertugas cuba menahan Gregario.

Laporan awal media mengatakan, perselisihan faham itu bermula selepas Gregario melepaskan meriam udara buatan paip PVC yang menyebabkan bunyi bising.

Ketika Gregario cuba menenangkan Frank untuk menghentikan perbalahan itu, Nuezca menembaknya di kepala diikuti anak wanita itu.

Menurut Alyssa Calosing, saksi lain melihat Nuezca memukul Gregario sebelum dia memulakan rakaman video itu.

Dakwanya, selepas menembak dua beranak itu, Nuezca mengambil anaknya dan berjalan seperti tiada apa yang berlaku.

Ketua Polis Negara, Debold Sinas mendedahkan, Nuezca menghadapi lima pertuduhan pentadbiran termasuk dua kerana membunuh, walaupun ditarik balik akibat kekurangan bukti.

Nuezca masih dibenarkan membawa pistol ketika tidak bertugas.

Sejak video itu tular, tanda pagar meminta keadilan terhadap dua beranak itu menjadi trending di media sosial.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Eduardo Año mengecam pembunuhan itu dan menegaskan kes kejadian pembunuhan itu diasingkan.

Awal tahun ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan laporan lebih 8,000 orang dibunuh polis sejak Presiden Rodrigo Duterte mengambil alih kuasa pada 2016.

Badan antarabangsa termasuk kumpulan hak asasi manusia menuduhnya melindungi polis ketika beliau memerangi dadah haram.

Bagaimanapun, pentadbiran Duterte menolak tuduhan terbabit dan presiden itu tetap kekal popular di negara itu. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu