Social
214

Polis terima 21 laporan pemerasan gambar bogel, video lucah

Kuala Lumpur – Polis menerima 21 laporan berhubung aktiviti pemerasan atau ugutan untuk menyebarkan gambar serta video lucah, termasuk yang pernah dikongsi oleh mangsa kepada suspek sejak Januari sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata setakat ini, pihaknya mengenal pasti 12 kes di mana mangsa telah membuat pembayaran selepas diugut suspek, sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM33,788.88.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, dua kes telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

“Majoriti mangsa terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebahagian besar kes juga membabitkan sindiket yang memperdaya mangsa di media sosial, dan pelaku dalam kalangan individu dikenali mangsa termasuk bekas suami dan teman lelaki.

Jelasnya sindiket yang melakukan kegiatan itu menggunakan laman sosial seperti Wechat, Facebook, Whatsapp, Michat dan lain-lain platform untuk memperdaya mangsa, sehingga sanggup berkongsi gambar bogel dan video lucah yang kemudiannya digunakan untuk memeras ugut.

“Sindiket ini akan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan sekiranya tidak dituruti, gambar atau video mereka akan disebarkan di media sosial atau kepada ahli keluarga dan rakan mangsa,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan melalui aplikasi tersebut, selain tidak mempercayai orang yang baru dikenali di media sosial. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu