Nation
307
0

Polis terima 7 laporan terhadap Tommy Thomas

Kuala Lumpur – Polis menerima tujuh laporan berhubung dakwaan memfitnah yang dilaporkan dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pada masa ini polis masih menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy.

“Sehingga pagi tadi, polis sudah menerima tujuh laporan di seluruh negara. Kita akan mengambil kenyataan semua pihak yang terbabit seperti dilaporkan untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini, kita serahkan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas. Beri mereka masa untuk memanggil semua mereka yang terbabit,” katanya selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Sungai Besi, pagi tadi.

Acryl Sani berkata, kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan, sebelum tindakan susulan dilakukan.

Kelmarin, bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, membuat laporan polis di Cyberjaya, selepas mendakwa Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.

Turut membuat laporan polis adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, semalam, atas dakwaan yang sama.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung fitnah. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu