Social
177

Polis tidak akan dedah senarai nama Geng Nicky

Johor Bahru – Polis akan membuat lebih ramai lagi tangkapan ke atas individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan ke atas mereka akan dibuat dalam masa terdekat termasuk pegawai dan anggota polis yang terlibat.

Jelasnya, buat masa ini senarai nama penguat kuasa itu tidak boleh didedahkan kerana boleh mengganggu siasatan.

“Saya tidak akan mendedahkan senarai nama tersebut, itu yang pertama.

“Saya sudah tekankan bahawa senarai 34 individu yang didedahkan Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador), kita akan mengambil tindakan di bawah jenayah terancang.

“Saya tidak akan memanggil mereka (pegawai dan anggota polis), kita akan tangkap, hasil siasatan mendapati benda itu (hasil siasatan) berkembang dan yang pastinya akan lebih ramai lagi akan ditangkap, tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Grou, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Dalam sidang akhbar sama, Abdul Hamid turut memberitahu seramai 68 ahli kumpulan jenayah terbabit diberkas termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu