Social
240

Polis tolak dakwaaan kompaun dua darjat

Melaka – Tiada unsur dua darjat berkaitan kompaun yang dikenakan ke atas tiga individu dan seorang penganjur program sebuah parti politik baru-baru ini, kata Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau berkata tindakan tersebut diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh menyebabkan orang ramai berkumpul.

”Malah pihak polis telah memberi nasihat kepada penganjur program (parti politik) itu agar tidak meneruskan program tersebut yang boleh menyebabkan perkumpulan orang ramai, sekali gus menyebabkan tiada penjarakan fizikal dan ia berkaitan pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang yang mendakwa pihak berkuasa mengamalkan dua darjat selepas mengenakan kompaun RM10,000 kepada sebuah parti politik walaupun parti itu mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal di sini Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata kompaun yang dikeluarkan di bawah Akta 342 itu juga tidak merujuk kepada parti tetapi individu yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

”(Kita) dimanipulasi seolah-olah kita (polis) keluarkan kompaun ini terhadap parti. Kita tidak pernah keluarkan kompaun ke atas mana-mana parti, yang kita keluarkan adalah ke atas individu yang melanggar peraturan. Jadi, orang ramai kena faham ini dan jangan kaitkan penguatkuasaan dengan parti,” katanya.

Ditanya mengenai sebuah parti politik yang berceramah menggunakan lori diubah suai, Abdul Majid berkata program itu secara jelas melanggar peraturan sekali gus kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas penganjur.

”Dakwaan yang mengatakan tiada penonton dan pelanggaran SOP pada program tersebut juga adalah tidak benar. Kita ada bukti melalui rakaman video dan gambar dari anggota di lapangan dan selepas siasatan, baharulah tindakan diambil.

”Oleh itu saya meminta mana-mana individu yang sangsi dengan tindakan tersebut, datang berbincang. Kita akan jelaskan tindakan yang diambil dan jika tidak berpuas hati, boleh kemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM). Jangan kelirukan rakyat melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan sejumlah RM18,000 kompaun dikeluarkan manakala enam kertas siasatan dibuka sejak 24 Okt lepas kepada individu yang melanggar Akta 342 dan akan dirujuk kepada pejabat pendakwaan negeri dalam masa terdekat bagi tindakan seterusnya.

Sementara itu, Abdul Majid menjelaskan kelulusan untuk mendapatkan permit mengadakan ceramah dan kempen pilihan raya adalah berdasarkan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

”Kita tengah tunggu prosedur operasi standard (SOP) dari SPR dan seperti mana yang kita tahu, semua ceramah dalam tempoh berkempen (sebelum ini) perlu mendapat permit,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu