Social
388

Polis tumpas ‘Geng Datin’

Gua Musang – Polis menahan tiga individu, termasuk seorang wanita tempatan dipanggil ‘Datin’ disyaki ketua sindiket pengedaran daun ketum dan ubat batuk dikenali sebagai ‘Geng Datin’.

Susulan itu, polis turut merampas satu tan daun ketum dan 29 kotak berisi ubat batuk dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kampung Blau, dekat sini, kira-kira jam 7.30 malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata terdahulu anggota bertugas mengesan seorang wanita memandu sebuah kereta mewah di Jalan Gua Musang-Lojing dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas wanita berusia 52 tahun itu kemudian membawa kepada serbuan pasukan ke lokasi persembunyian empat lelaki bersama empat kenderaan di ladang sawit.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui satu tan daun ketum dan 29 kotak mengandungi 2,088 botol berisi cecair dipercayai ubat batuk.

“Dua lelaki berusia 24 dan 31 tahun turut ditahan dalam serbuan itu, namun dua lagi suspek sempat melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Choon Foo berkata, daun ketum dan ubat batuk itu dipercayai adalah untuk edaran di daerah ini serta Kota Bharu dengan melalui Jalan Simpang Pulai-Gua Musang.

“Kesemua suspek terbabit juga didapati tidak memiliki permit merentas negeri.

“Mereka direman mulai kelmarin hingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu