Social
1K

Polis tumpas sindiket ‘Datuk Ken’

Shah Alam – Sindiket kegiatan haram didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk Ken’ tumpas susulan penahanan 15 individu warga tempatan di sekitar Rawang, Gombak dalam op khas pada 6 Julai dan 11 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata siri serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut berjaya menahan suspek utama berumur 40 tahun bersama isterinya, 41, di kediaman mereka di Rawang pada 11 Ogos.

Hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki tersebut menjalankan kegiatan haram antaranya aktiviti perjudian dalam talian, pelombongan bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen (along) secara berperingkat sejak 2014.

“Bagi aktiviti perjudian, sindiket berkenaan telah beroperasi bermula dari 2016 di sekitar Selangor, Perak, Pahang dan Sabah serta memperoleh keuntungan sehingga RM6 juta setahun. Bagi kegiatan bitcoin, mereka bermula dari tahun lepas dan sindiket mendapat keuntungan sebanyak RM800,000 sebulan.

“Bagi kegiatan along yang bermula 2014, mereka hanya menawarkan pinjaman kepada kenalan rapat serta ahli perniagaan dengan mengenakan kadar faedah sekitar lapan hingga 10 peratus sebulan dan sindiket memperoleh keuntungan sekitar RM2 juta setahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Arjunaidi berkata sebelum penahanan ketuanya, pihaknya turut menahan 13 ahli sindiket tersebut yang berumur 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lepas di kediaman mereka, juga di sekitar Rawang kerana disyaki menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian.

“Kesemua 13 tangkapan (individu) tersebut telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 9 Julai atas kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Susulan penangkapan itu, pihaknya merampas dan menyita 14 unit kereta mewah seperti Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman serta 14 unit rumah banglo yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

“Kita turut menyita tiga unit rumah kedai, wang tunai termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta. Hasil siasatan, ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 syarikat lain,” katanya yang tidak menafikan penubuhan syarikat tersebut adalah untuk mencuci wang hasil aktiviti haram berkenaan.

Dalam pada itu, polis juga memburu dua lelaki dipercayai orang kanan sindiket ‘Datuk Ken’ bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Shahriman Mat Junus menerusi talian 012-3480281.

“Mereka yang diburu ialah Chuah Seong Hooi, 48, atau dikenali Ah Chong yang beralamat di Taman Rawang Perdana, Rawang dan Heow Hee Soon, 31, nama panggilan Fei Soon dan alamat terakhir di Bandar Country Homes, Rawang,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu