Social
364

Polis tumpas sindiket penipuan vaksin

Petaling Jaya – Demi mengaut keuntungan, sindiket penipuan vaksin sanggup menawarkan pakej vaksin Covid-19 melalui laman sosial Facebook serta panggilan telefon kepada mangsa yang disasarkan.

Harga vaksin yang ditawarkan adalah RM400 untuk warga tempatan manakala RM800 bagi warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, taktik itu terbongkar selepas polis memberkas seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 26 dan 27 tahun dalam serbuan di Selangor, semalam.

Menurutnya, penangkapan itu dibuat selepas kita menerima laporan polis daripada seorang pegawai perubatan yang mendakwa menerima maklumat daripada rakannya berkaitan tawaran pakej vaksin Covid-19 pada harga RM400 dan RM800.

“Siasatan awal mendapati suspek membuat penawaran pakej vaksin berkenaan melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon.

“Pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinansi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah dan mana-mana pembeli yang berminat untuk mendaftar, mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu.

“Pembayaran hanya perlu dibuat oleh pembeli selepas nama mereka tersenarai sebagai penerima vaksin dalam aplikasi berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, suspek mendakwa kira-kira 30 orang sudah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi terbabit dan 10 peratus sudah menyatakan minat untuk membeli pakej yang ditawarkan itu.

“Semakan lanjut mendapati sehingga kini pendaftaran SCVP hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka individu persendirian,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan. — Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu