Kuala Lumpur Post

Nation

Prasarana akan ambil tindakan terhadap perosak jejambat

KUALA LUMPUR — Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebabkan kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyebabkan operasi tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling terjejas tetapi turut memberikan kesukaran kepada penumpang.

“Prasarana akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan perkara itu berlaku,” katanya selepas taklimat prestasi Prasarana 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Perkhidmatan operasi tren di enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sebelum ini ditutup susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak.

Namun enam stesen itu telah dibuka kembali tetapi operasi tren di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya masih belum dibuka dan penumpang perlu menggunakan bas perantara antara kedua stesen itu.

Pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan di antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan yang rosak itu membabitkan kos sebanyak RM30 juta.

Kerja membaik pulih itu katanya sudah selesai dan kini berada di peringkat ujian keselamatan sebelum dibuka kembali untuk laluan rel.

“Sebelum hujung Februari ini laluan LRT Ampang di antara kedua stesen yang terbabit itu akan beroperasi kembali,” katanya.

Tags: ,