Kuala Lumpur Post

Nation

Prasarana akan tuntut pampasan RM38 juta isu kerosakan struktur LRT Bandaraya

KUALA LUMPUR — Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan pemilik tapak projek pembinaan sebuah hotel, yang menjadi punca gangguan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya, termasuk menuntut pampasan RM38 juta.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata amaun tuntutan itu, melibatkan kos baik pulih kerosakan struktur di beberapa jejambat LRT dan kos operasi pelan kontingensi melibatkan penyediaan bas perantara.

Beliau berkata, keputusan bagi menuntut segala pampasan dan tindakan undang-undang hanya selepas semua proses pembaikan selesai dilaksanakan, bagi memastikan gangguan perkhidmatan dapat diselesaikan sesegera mungkin.

“Ini arahan yang kementerian terima, kerana jika kita ambil tindakan lain seperti tuntut pampasan dahulu, baru fikir nak baiki, gangguan akan berlanjutan lebih lama dan ini akan lebih menyusahkan pengguna, kena ingat stesen ini tutup dah lebih setahun lalu (27 Feb 2023).

“Jadi kerja-kerja pembaikan yang bermula Mac tahun lalu berjaya disiapkan pada Disember lepas, sebelum melalui beberapa siri ujian bagi tujuan keselamatan rel dan pematuhan piawaian, sebelum kita buka sepenuhnya semula operasi hari ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi pembukaan semula Stesen LRT Bandaraya.

Ditanya sama ada projek pembinaan hotel berkenaan akan diteruskan atau dihentikan, Loke berkata keputusan berkaitan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bagaimanapun mengambil pengajaran daripada kes ini yang memberi kesan besar kepada keselesaan pengguna, sekiranya ia diteruskan kita harap syarat yang lebih ketat dikenakan bagi mengelak perkara sama berulang pada masa akan datang.

“Juga perlu untuk mana-mana PBT (pihak berkuasa tempatan) melibatkan Prasarana dan Apad (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dalam sebarang keputusan kelulusan projek dan pembinaan, terutama dalam radius 250 meter daripada mana-mana stesen pengangkutan awam,” katanya.

Mengenai gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang merayu kerajaan untuk campur tangan dalam isu dihadapi penghantar p-hailing melibatkan kadar upah, Loke berkata pihaknya akan mengkaji perkara berkenaan.

“Kita juga akan berbincang dengan kementerian lain yang terlibat dan pada masa sama meminta pihak Grab untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Media pada Jumaat, melaporkan Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor bersama lebih 50 penghantar makanan, menyerahkan memorandum berkaitan isu tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan Nor Fuad Abdul Hamid, di Putrajaya.

Menurut Kamarul, penurunan kadar upah asas sejak sebulan lalu, telah menjejaskan pendapatan harian golongan penghantar.