Social
183

Premis jual arak diarah tutup

Kuala Lumpur – Sebuah premis di Bangsar, di sini, yang hanya menjual minuman keras diarahkan tutup oleh polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya merujuk maklumat diterima daripada seorang lelaki yang memaklumkan premis berkenaan mendapat surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diluluskan untuk peruncitan makanan dan minuman seperti tular di media sosial.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit hanya menjual minuman keras yang dianggap sebagai bukan barangan keperluan.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan dengan memberi nasihat serta mengarahkan premis itu ditutup.

“Pihak pengurusan (premis) akur dan mengambil tindakan menutup premis berkenaan seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya memandang serius isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Justeru itu, semua peniaga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan surat kelulusan daripada MITI dengan sewenang-wenangnya.

“Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP di daerah ini, orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan premis berkenaan memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan premis terbabit ditutup selepas sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pantai melakukan pemeriksaan jam 3.30 petang, semalam.  — Harian Metro

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu