KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.
Dalam hantaran menerusi Facebook, Anwar berkata, Erdogan sudah menyatakan komitmen jelas berhubung kunjungan itu bagi memenuhi undangannya untuk memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara, melalui pertemuan secara maya bersama beliau malam tadi.
“Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan,” menurut hantaran itu.
Turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam sesi itu, Anwar berkata, beliau dan Erdogan membincangkan mengenai kerjasama pertahanan, dengan Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lalu.
Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan Turkiye.
“Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat,” kata Anwar.
Selain itu, Anwar berkata, Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.