Kuala Lumpur Post

Politics

PRK DUN Nenggiri: Pertembungan satu lawan satu antara Pas & BN

GUA MUSANG — Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada 17 Ogos ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud mengumumkan calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini.

Beliau mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail jam 9.02 jam, sebelum disusuli calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani jam 9.08 pagi.

Mohd Azmawi Fikri, 38, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan manakala Mohd Rizwadi, 41, adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian BERSATU pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.

Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).