CHUKAI — Polis membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni.
Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini, beliau berkata siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin di sebuah balai polis di sini, Jumaat lepas.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu pada satu ceramah perdana di sini, antara lain didakwa mengeluarkan “fatwa” harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu dan mereka yang berbuat demikian boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan semua penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan ataupun perarakan pascapilihan raya supaya tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.
“Polis akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pascapilihan raya nanti,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi ketenteraman awam selepas pilihan raya sehinggalah situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS
Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).