GUA MUSANG — Sebanyak 20 pusat pengundian membabitkan 46 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.
Daripada jumlah pusat pengundian itu, 14 pusat pengundian dibuka sehingga jam 6 petang manakala empat pusat mengundi akan ditutup jam 2 petang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, lapor BH Online.
Dua lagi pusat mengundi akan ditutup pada jam 3 petang, iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan Sekolah SK Pulat.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BEESATU pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRUN) Ogos tahun lalu, calon BN, Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.