Kuala Lumpur Post

Politics

PRK Sg Bakap: 9 pusat mengundi dibuka 8 pagi ini

NIBONG TEBAL —  Sembilan pusat pengundian membabitkan 65 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Pusat pengundian itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Proses pengundian hari ini membabitkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.