Politics
224

PRN Melaka: Pertembungan BN, PN lambang pembaharuan politik negara : Annuar

Melaka – Pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melambangkan pembaharuan politik negara, kata Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata situasi sama juga telah diamalkan di negara luar yang bertanding atas tiket parti masing-masing sebelum membentuk kerajaan campuran.

“Sebenarnya tak ada masalah cumanya di Malaysia ini kita dah terbiasa dengan gabungan. Itu yang dibuat sebelum pilihan raya bergabung, semasa pilihan raya buat manifesto bersama dan kemudian masuk ke pilihan raya sebagai satu gabungan.

“Di banyak negara lain, masing-masing masuk sendiri dan selepas pilihan raya baru dia buat macam kerajaan campuran, gabungan dan sebagainya. Jadi anggap ini satu politik baharu atau pembaharuan politik dalam negara kita, ambil dari sudut positif,” katanya pada program santai FB live bersama Annuar bertajuk Norma Baharu Pilihan Raya Bermula di Melaka secara maya semalam.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata meskipun tanpa jawatan selepas dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO, beliau komited untuk membantu kesemua 28 calon BN dalam PRN berkenaan.

“Saya akan berjumpa dengan kesemua 28 calon dan saya akan bantu setakat apa yang saya boleh bantu (dari segi) tenaga, material dan pandangan, dan selain dari Machap Jaya yang diamanahkan kepada UMNO Ketereh, saya merasakan tanpa perlu disuruh, saya juga boleh bantu kawasan-kawasan lain,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu