Nation
196

PRN Melaka: UMNO teruskan kerjasama dengan PAS

Kuala Lumpur – UMNO hari ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pendirian itu selaras ketetapan Perhimpuan Agong parti itu tahun lepas, iaitu antara lain untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk antara dua parti berkenaan.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Okt 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, di sini semalam.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut bersetuju melantik Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah PRN Melaka, selain mandat turut diberikan kepada Ahmad Zahid dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN berkenaan.

Beliau juga berkata mesyuarat kali ini belum memuktamadkan nama calon dan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka.

Mengenai isu Barisan Nasional (BN) dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, dengan mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di World Trade Centre di sini Rabu lepas, Ahmad berkata pihaknya akan membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar kadar kompaun dikurangkan.

“Pada kefahaman kami, apabila KKM mengeluar kenyataan mengenai SOP terbaru, ia ditujukan pada aktiviti kempen dalam negeri Melaka. Kami bukan sengaja melanggar SOP ditetapkan, itu sebab kita adakan pelancaran jentera bukan hanya menggunakan satu dewan…kerana hendak jaga SOP, kita buat di dua dewan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UMNO berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memberi kelonggaran kepada parti politik untuk berkempen secara rumah ke rumah dalam bilangan peserta yang terhad bagi PRN Melaka.

“Kita harap mereka juga benarkan bilik gerakan beroperasi dengan kehadiran individu yang terhad, kerana mereka ini akan membantu jentera parti mengedarkan sebarang hebahan. Tindakan ini tidak bermakna UMNO dan BN tidak cakna dengan kesihatan rakyat,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu