Nation
194

PRN Sarawak dalam tempoh 60 hari selepas Proklamasi Darurat dibatalkan : SPR

Kuala Lumpur – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai mengenai pengisytiharan proklamasi itu oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

Beliau berkata di bawah peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN itu yang sepatutnya terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya, tidak mempunyai kesan berdasarkan Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat itu.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan. Bagaimanapun, peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu