Social
76

Projek KVDT2: Rayuan kerajaan didengar pada 16 Jun

Putrajaya – Rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kontraktor projek Landasan Berkembar Lembah Kelang Fasa 2 (KVDT2) meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar penamatan kontraknya akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Jun.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang hadir bagi pihak kerajaan dan Menteri Pengangkutan, ketika dihubungi berkata tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.

Beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan telah memfailkan sijil perakuan segera bagi mempercepat pendengaran rayuan itu.

Pada 14 April lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Noorin Badaruddin memberikan kebenaran kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk mengenepikan keputusan kerajaan yang membatalkan projek itu.

Beliau turut membenarkan permohonan bagi menggantung keputusan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka bagi pembidaan projek tersebut sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman itu.

Permohonan semakan kehakiman yang difailkan Dhaya Maju LTAT pada September 2020 itu menamakan kerajaan dan Menteri Pengangkutan sebagai defendan.

Syarikat itu memohon deklarasi bahawa keputusan kerajaan membatalkan projek KVDT2, yang dianugerah pada 19 Ogos 2019, dan pembukaan semula tender bagi pembidaan projek tersebut selepas itu adalah batal serta tidak sah.

Dhaya Maju LTAT juga memohon perintah certiorari bagi mengenepikan keputusan kerajaan membatalkan projek itu dan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan menyempurnakan semua perjanjian dan dokumen yang telah ditandatangani.

Dhaya Maju LTAT, yang diwakili peguam Datuk Lim Chee Wee, turut memohon agar keputusan kerajaan menamatkan kontrak itu digantung dan mahkamah menaksir jumlah kerugian susulan tindakan tersebut. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu