Nation
228

Proklamasi Darurat : 21 kertas siasatan dibuka, 10 individu ditahan

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 21 kertas siasatan berhubung penghasilan dan penularan berita tidak benar berkaitan COVID-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan semalam berkata kertas siasatan tersebut disiasat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (no.2) 2021 sejak ordinan itu dikuatkuasakan pada 12 Mac lepas.

Beliau berkata siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.

Beliau berkata ordinan itu memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menahan tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial.

“Seksyen 4(1) ordinan ini memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, atau kepada mana-mana golongan awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Berikutan itu, Acryl Sani berkata pihaknya telah menahan 10 individu yang ditahan secara berasingan di bawah ordinan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, tiga tahanan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa perlu) (no. 2) 2021 manakala tujuh yang lain diberi jamin polis sehingga siasatan dilengkapkan.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai,” katanya.

Acryl Sani menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu untuk mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu