Kuala Lumpur Post

Nation

PRU-15: Johari janji selesai masalah penduduk Titiwangsa jika diberi mandat

KUALA LUMPUR — Sebagai anak tempatan yang dilahir dan dibesarkan di ibu kota ini, calon Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bertekad menyelesaikan beberapa isu setempat yang masih tertangguh, sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Johari pernah memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016, namun tsunami politik ketika PRU14, menyaksikan beliau tewas kepada Datuk Seri Rina Mohd Harun dengan majoriti 4,139 undi.

Ketika ditemui selepas menghadiri Sembang Santai Anak Muda di Anjung Perpaduan Kampung Padang, Kampung Baru, dan melawat Bilik Gerakan BN Kampung Baru Utara, di sini, malam tadi, katanya antara mahu dilakukannya jika dipilih semula sebagai wakil rakyat adalah empat fokus utama iaitu isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru untuk projek pembangunan, nasib pemilik Flat PKNS Jalan Tun Razak, projek naik taraf Pasar Chow Kit yang terbengkalai 10 tahun dan isu Pasar Dato Keramat.

“Saya nak pastikan bahawa 89 peratus daripada penduduk Sungai Baru ini yang sudah berpindah dan dijanjikan pemaju, mereka akan dapat balik unit mereka dalam masa yang ditetapkan kerana mereka dengan sukarela nak pindah sebab pemaju janjikan akan bawa mereka semula.

“Tetapi projek masih belum bermula, itu nak dipastikan. Yang kedua kita juga nak tengok macam mana nasib 202 pemilik Flat PKNS Jalan Tun Razak yang dah 14 tahun tak dapat balik unit berkenaan.

“Yang ketiga saya nak tengok macam mana projek Pasar Chow Kit yang terbengkalai selama 10 tahun, dibangunkan semula dengan mencari kontraktor yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan berwibawa.

“Yang keempat adalah Pasar Keramat yang dijanjikan untuk dibangunkan dan sekarang sudah enam tahun DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dah jual tanah tetapi duit tak dapat sepenuhnya, pemaju tak bangunkan,” katanya.

Ketika ditanya pandangannya seolah-olah penyandang Parlimen Titiwangsa terdahulu tidak menjalankan tanggungjawab, katanya, adalah tidak adil untuk beliau membuat penilaian kerana penduduk setempat lebih mengetahuinya.

Beliau berkata, penduduk setempat yang menilai sebab dalam sistem demokrasi ini setiap orang ada kuasa untuk mengundi.

“Satu orang satu undi. Kita kena menilai dan berfikir sebelum mengundi. Jangan undi dahulu baru nak nilai, fikirkan. Ini yang janji macam-macam kenapalah Sungai Baru nak dijual dan sebagainya, dia tidak faham…dia tidak faham. Suruhlah mereka duduk di flat itu tengok macam mana apa rasa.

“Yang datang dari luar (berkempen), dia duduk rumah banglo rumah teres, rumah semi-D, tak tahu macam mana orang flat duduk,” katanya yang turut berpengalaman mendiami kawasan flat.

Katanya, sebagai anak Kuala Lumpur yang dilahir dan membesar di ibu kota ini, beliau menyaksikan sendiri betapa kawasan yang dahulunya 80 peratus adalah setinggan kini sudah berubah wajah.

Beliau berkata, kawasan yang dahulunya adalah penempatan setinggan sudah bertukar menjadi perumahan flat dan rumah pangsa.

“Bagaimanapun, selepas 65 tahun kita merdeka, kediaman seperti Flat Tun Razak sudah tidak sesuai lagi kerana hanya mempunyai satu bilik tidur dan satu bilik air.

“Justeru itu, saya menyokong pembangunan tetapi kena pastikan pembangunan yang tidak menimbulkan masalah berbangkit pada masa akan datang. Itu kita kena belajar daripada kesilapan,” katanya, lapor BH Online.

Tags: ,